10.28.2010

Jalan : SiApA aKu PaDa KaMu...

Jalan ini tentang kawan aku...sedih jugak kalau diimplementasikan.


Hujan bulan Oktober sudah bermula, beginilah setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh pada hujung tahun. Hujan ini mengingatkan aku tentang kisah aku dan kamu. Kisah satu masa yang pernah terjadi dan berlaku antara aku dan kamu.

Masih segar dalam ingatanku tatkala kita bersua muka buat pertama kali. Aku tertarik kepada gerak - gerimu, setiap tutur katamu menarik minatku. Aku percaya bahawa kamu begitu jujur dalam setiap perlakuanmu, sehingga aku menanam cita-cita untuk mengenalimu dengan lebih rapat lagi. Apakan daya,  rasanya sukar untuk mendekatimu, lantaran diriku tidak sepertimu, kamu pintar, cantik dan mungkin kamu sudah berpunya.

Seakan tidak percaya yang aku bisa berbual denganmu, pertama kali aku bisa bertentang mata dan menuturkan sepatah dua kata yang sebenarnya membuatkan aku bahagia. Adakah ini sebenarnya titik pertemuan dan perkenalan kita. Aku mengharapkan ia akan terus berkekalan dan berterusan. Mungkin.

Seperti yang aku jangka, segala tanggapanku kepada hubungan kita adalah benar. Semakin aku mengenalimu semakin  gembira kurasa. Setiap kali kita bersua muka di kaki lima sekolah, ketika itu kau sedang berjalan bersama teman-temanmu yang lain,  aku sempat memandang ke arahmu, lalu kamu balas dengan senyuman tersipu-sipu malu.

Dari hubungan sebagai rakan dan kenalan setingkatan kepada hubungan kenalan rapat. Masih ingat akan perbualan kita di telefon.

"Awak sudi jadi abang angkat saya ? " tanyamu kepadaku.

"Sudi, saya sudi " balasku segera.

Berbunga hatiku ceria apabila mendengar ungkapan itu dari bibirmu. Jika aku bisa memberitahu perkara ini, kepada semua insan didunia bahawa hari ini,  adalah hari indah buatku akan aku katakan kepada mereka semua.

Maka bermulalah kisah kita berdua, setiap hari selepas kelas aku menunggumu, walau bukan untuk bertemu, cukuplah memandangmu dari jauh apabila melihat  keluar dari kelas.Setiap kali kita keluar bersama rakan-rakan yang lain untuk keluar outing. Ingat pada hari itu kawan -kawan kita menyindir keakraban kita.

"Kalau ada kau, mesti ada dia, korang ni ada apa-apa ke? " kata mereka.

Tersenyum aku bila mendengar sindiran itu, berbunga ceria dan bahagia bila mendengarnya. Di tambah dengan kamu tersenyum malu sambil memandangku. Sepertinya ada sinar harapan dalam matamu yang buat aku yakin untuk memilikimu.

Dan ketika kamu bersedih menghadapi hari-hari sukar menjelang pepriksaan SPM aku sedia mendengar setiap luahan hatimu. Dari perhubungan adik dan abang kita bertukar menjadi sayang. Pertama kali kamu hantar pesanan ringkas yang berbunyi.

Syg..syg wt ap tu ?

Seakan  tidak percaya akan apa yang kubaca, dan bermula tika,saat serta detik itu aku percaya yang kamu hanya ada aku dan aku juga cuma ada kamu. Tapi panas pagi hari tak sampai ke petang, rupanya hujan di tengahhari. 

Ingatan aku pada hari itu benar-benar menyiksa batin dan perasaanku. Seawal pagi aku menerima pesanan ringkas darimu.

"Slm, abg, Ina nak kenalkan abg dengan buah hati Ina. Jmpa kt food court yea nti"

Fikiranku menyangka itu gurauanmu, aku percaya yang kasih kita berdua bukannya plastik dan utuh seperti selalu. Buah hati yang dimaksudkan oleh kamu itu adalah aku.Aku percaya padamu. Mana mungkin kamu akan melukakan hatiku. Kekasihmu. Lalu aku lekas bersiap dan pergi menemuimu di tempat yang kamu janjikan.

Sepertinya kau lewat seperti selalu, tapi itu tidak mematahkan semangatku. Sepincing masa berlalu aku melihat kelibatmu. Tetapi ada seorang jejaka yang ada disampingmu. Seakanku kenal akan wajahnya. Mungkin rakan atau salah seorang kenalanmu, bisik hatiku.

"Salam abang, kenalkan ni lah buah hati Ina" katamu kepadaku.

Seluruh jiwaku bergolak ketika itu, seakan tidak percaya akan insan yang berdiri dihadapanku itu adalah kekasihmu. Aku ingin sekali bertanyakan kepadamu adakah semua ini dusta dan gurauanmu belaka ??? Katakanlah bahawa semua ini dusta belaka. Sepanjang pertemuan itu aku merasakan yang aku sedang menyaksikan satu drama. Kamu tersenyum mesra sambil bergurau senda bersamannya, sedang aku melihat dan sesekali tersenyum pahit kerana aku mersakan yang aku sedang ditipu. Di tipu hidup-hidup!!!

"Emm.. Ina, abang nak balik dululah, ada kawan mesej nak mintak tolong buat kerja sikit, maaflah tak dapat temankan Ina dengan Afiq lama-lama" kataku kepadamu.

"Ala...abang dah nak balik, tunggulah kita pesan makanan dulu" balas Ina dengan nada merayu.

Aku terus berlalu pergi, aku sedar yang kehadiranku itu umpama insan yang tidak diperlukan. Langkah longlai kakiku ini ketika pulang ke asrama. Sepanjang perjalanan aku memikirkan peristiwa yang baru aku  alami tadi. Sebatang demi sebatang rokok aku hisap dan nyalakan. Sepertinya aku sedang kebingungan dan dalam keadaan yang amat sedih serta tertekan.

Guruh dilangit berdentum menandakan hujan bakal turun. Seakan langit sedang menangisi kesedihanku. Lalu rintik-rintik hujan mulai turun membasahi bumi. Ketika itulah aku meneruskan perjalanan dalam hujan dan dalam kedinginan suasana. Diselubungi perasaan sedih dan pertanyaan yang menyesakkan nafasku. Hujan semakin turun dengan lebatnya. Semakin lebat hujan turun, semakin laju air mataku menitis.

Bayangan kisah kamu dan aku silih berganti menjelma dalam benakku. Sesekali aku mengesat air mata yang sedang bercampur dengan titisan hujan. Aku bertanya kepada diriku , adakah ini semua benar ? Atau kamu hanya mahu mengujiku ? Atau kamu benar-benar sedang bersamanya ? Seribu pertanyaan mencengkam dan menerjah fikiranku. Seluruh tubuhku lenjun dibasai hujan. Hancur luluh hati ini hanya Tuhan yang tahu.

"Siapa abang ni pada Ina ? "

"Abang, abang angkat Ina "

Masihku ingat kisah itu ? Ingin aku putar semula kepadamu. Tapi aku ingin kamu tahu yang aku bukan seperti yang kau sangka, aku tidak lagi menagih kasihmu.

Hujan bulan Oktober masih lagi turun, kesejukan dan kedinginannya makin terasa. Tapi aku  bersyukur kerana aku masih ada kehangatan kasih dari -Nya.

p/s: Salam, kisah ini sebenarnya kisah salah seorang sahabatku. Aku nukilkan untuk jadi pengajaran untuku.

Jalan-jalan dalam hujan, hujan bulan Oktober.

No comments:

Blogger news

Blogroll