10.29.2010

Jalan : DiA AtAu dIa...

Jalan kali ini aku nak ceritakan kisah seoang pengembara ilmu dari Batu Pahat ke Kota Bharu.

Suasana pagi itu begitu hening sekali. Deretan kedai-kedai masih lagi gelap dan lampu-lampu jalan masih lagi menyala. Kucing -kucing liar berkeliaran di sekitar kaki-kaki lima kedai dan bangunan. Mencari rezeki sisa makanan yang dibuang oleh orang. Kadangkala kucing -kucing ini sanggup menumbangkan tong sampah untuk mendapat habuan mereka pada hari itu. Jika anjing liar datang, kucing-kucing akan bertempiaran lari menyelamatkan diri. Fitrah alam.

Kelihatan beberapa orang  perebet sapu sedang asyik berbual-bual dan sesekali mata-mata mereka melihat-lihat akan kehadiran bas exspress yang baru sampai ke stesen bas itu. Kedengaran sesekali mereka tergelak dan ada yang sekadar melayan perasaan sambil menghisap rokok. Begitulah semangat kaum Adam dalam membina keluarga. Perasaan mengantuk dan lesu digagahi untuk bekerja mencari rezeki untuk suapan anak dan isteri. Inilah dikatakan pengorbanan, tatkala insan-insan lain sedang enak dulit mimpi mereka sudah keluar mencari nafkah.

Udara dingin pagi itu tidak mematahkan semangatku untuk terus bertahan menunggu bas pertama untuk ke Pengkalan Chepa.Hari itu merupakan hari Sabtu dan hari itu aku perlu segera pulang ke Maktab Perguruan Kota Bharu. Banyak lagi tugasan dan urusan yang aku tinggalkan semasa cuti menemui keluarga. Perjalanan dua belas jam tidak mematahkan semangatku sebagai seorang pengembara. Pengembara ilmu.

Sesekali mata ini melihat jam ditangan. Walau murah harganya tetapi masa yang dipandu amat berharga. Kadang-kadang terdetik dihatiku, mengapa ada jam tangan yang mahal harganya. Mencecah puluhan ribu. Adakah memakainya memberikan si pemakai waktu sejam lebih dari si pemakai jam yang murah ? Mungkin masa mereka lebih berharga. Cuma sekadar mungkin. Pendapat tidak salah.

"Masih 6.15 " bisik hatiku.

Rasa mengantuk sudah lama hilang sejak turun dari bas tadi. Ketika itu ada perebet -prebet sapu yang menawarkanku perkhidmatannya. Tapi aku seperti tidak berminat untuk menggunakan khidmatnya. Sesekali menunggu bas dan duduk di sekitar stesen bas itu apa salahnya.

Sedang asyik memerhati keadaan sekeliling aku ternampak kelibat seorang lelaki. Usianya mungkin masih di awal empat puluhan. Berkaki ayam, berpakaian compang-camping dan berkain pelikat. Lusuh kelihatan warnanya. Sedang dia berjalan, mulutnya terkumat-kamit seperti sedang berbicara. Tangannya melilau menunjuk arah sana dan sini seperti sedang ditanya arah oleh seseorang. Sebelah tangannya pula tergenggam kemas sebungkus nasi lemak yang sepertinya baru diberikan oleh seseorang. Ihsan sesama manusia.

Aku hanya melihat dan sesekali memerhatikan arah mana lelaki itu pergi. Tidak lama kemudian,  kelibat lelaki itu sudah tidak kelihatan. Selang beberapa lama kemudian aku seperti melihat kelibatnya datang kembali di sekitar tempatku duduk.

Kali ini dia seakan mecari sesuatu. Nasi lemak ditangannya sudah tiada, mugkin sudah menjadi alas perutnya. Kira-kira beberapa depa dihadapanku ada sebuah meja kayu yang diletakkan untuk menjadi tempat letak beg. Mungkin. Di atas meja itu terdapat tin minuman ringan yang ditinggalkan oleh seseorang.

Dalam beberapa ketika lelaki itu menghampiri meja tersebut. Tangannya dihulurkan untuk mengambil tin minuman itu. Di angkat tin itu dan digoncang-goncangkan. Telinganya didekatkan bagi mendengar adakah masih ada lagi sisa air yang terdapat didalamnya. Masih ada. Lalu disuakan mulutnya untuk meminum sisa air tersebut. Jumlahnya mungkin tidak sampai seteguk. Cukuplah untuk membasahkan mulut yang mungkin kepedasan kerana sambal nasi lemak tadi.

Selesai minum lelaki itu seakan tercari-cari akan sesuatu. Tangannya masih memegang kemas tin minuman itu. Lalu dia membuka langkah menuju ke arah tong sampah yang paling hampir dengannya. Tin itu dimasukkan kedalam tong sampah dan dia terus berlalu pergi.

Kagum. Itu yang aku dapat katakan. Jika ingin aku tanyakan kepada kalian siapakah yang lebih betul dan waras ? Insan yang meninggalkan tin itu diatas meja atau lelaki separuh tiang yang membuangnya kedalam tong sampah. Aku yakin dan pasti  orang yang meninggalkan tin minuman itu seseorang yang mampu, berduit, tahu memesan dan membayar harga air itu. Pendek kata ada akal dan fikiran yang waras.

Jauh aku berfikir mengenangkan peristiwa yang berlaku dia hadapanku. Siapa yang lebih gila ? Dia atau dia ?

Jalan-jalan kita yang waras ini, jangan tinggal tin minuman merata-rata kerana mungkin orang yang tak waras akan menolong membuangkannya.

No comments:

Blogger news

Blogroll