10.29.2010

Jalan : DiA AtAu dIa...

Jalan kali ini aku nak ceritakan kisah seoang pengembara ilmu dari Batu Pahat ke Kota Bharu.

Suasana pagi itu begitu hening sekali. Deretan kedai-kedai masih lagi gelap dan lampu-lampu jalan masih lagi menyala. Kucing -kucing liar berkeliaran di sekitar kaki-kaki lima kedai dan bangunan. Mencari rezeki sisa makanan yang dibuang oleh orang. Kadangkala kucing -kucing ini sanggup menumbangkan tong sampah untuk mendapat habuan mereka pada hari itu. Jika anjing liar datang, kucing-kucing akan bertempiaran lari menyelamatkan diri. Fitrah alam.

Kelihatan beberapa orang  perebet sapu sedang asyik berbual-bual dan sesekali mata-mata mereka melihat-lihat akan kehadiran bas exspress yang baru sampai ke stesen bas itu. Kedengaran sesekali mereka tergelak dan ada yang sekadar melayan perasaan sambil menghisap rokok. Begitulah semangat kaum Adam dalam membina keluarga. Perasaan mengantuk dan lesu digagahi untuk bekerja mencari rezeki untuk suapan anak dan isteri. Inilah dikatakan pengorbanan, tatkala insan-insan lain sedang enak dulit mimpi mereka sudah keluar mencari nafkah.

Udara dingin pagi itu tidak mematahkan semangatku untuk terus bertahan menunggu bas pertama untuk ke Pengkalan Chepa.Hari itu merupakan hari Sabtu dan hari itu aku perlu segera pulang ke Maktab Perguruan Kota Bharu. Banyak lagi tugasan dan urusan yang aku tinggalkan semasa cuti menemui keluarga. Perjalanan dua belas jam tidak mematahkan semangatku sebagai seorang pengembara. Pengembara ilmu.

Sesekali mata ini melihat jam ditangan. Walau murah harganya tetapi masa yang dipandu amat berharga. Kadang-kadang terdetik dihatiku, mengapa ada jam tangan yang mahal harganya. Mencecah puluhan ribu. Adakah memakainya memberikan si pemakai waktu sejam lebih dari si pemakai jam yang murah ? Mungkin masa mereka lebih berharga. Cuma sekadar mungkin. Pendapat tidak salah.

"Masih 6.15 " bisik hatiku.

Rasa mengantuk sudah lama hilang sejak turun dari bas tadi. Ketika itu ada perebet -prebet sapu yang menawarkanku perkhidmatannya. Tapi aku seperti tidak berminat untuk menggunakan khidmatnya. Sesekali menunggu bas dan duduk di sekitar stesen bas itu apa salahnya.

Sedang asyik memerhati keadaan sekeliling aku ternampak kelibat seorang lelaki. Usianya mungkin masih di awal empat puluhan. Berkaki ayam, berpakaian compang-camping dan berkain pelikat. Lusuh kelihatan warnanya. Sedang dia berjalan, mulutnya terkumat-kamit seperti sedang berbicara. Tangannya melilau menunjuk arah sana dan sini seperti sedang ditanya arah oleh seseorang. Sebelah tangannya pula tergenggam kemas sebungkus nasi lemak yang sepertinya baru diberikan oleh seseorang. Ihsan sesama manusia.

Aku hanya melihat dan sesekali memerhatikan arah mana lelaki itu pergi. Tidak lama kemudian,  kelibat lelaki itu sudah tidak kelihatan. Selang beberapa lama kemudian aku seperti melihat kelibatnya datang kembali di sekitar tempatku duduk.

Kali ini dia seakan mecari sesuatu. Nasi lemak ditangannya sudah tiada, mugkin sudah menjadi alas perutnya. Kira-kira beberapa depa dihadapanku ada sebuah meja kayu yang diletakkan untuk menjadi tempat letak beg. Mungkin. Di atas meja itu terdapat tin minuman ringan yang ditinggalkan oleh seseorang.

Dalam beberapa ketika lelaki itu menghampiri meja tersebut. Tangannya dihulurkan untuk mengambil tin minuman itu. Di angkat tin itu dan digoncang-goncangkan. Telinganya didekatkan bagi mendengar adakah masih ada lagi sisa air yang terdapat didalamnya. Masih ada. Lalu disuakan mulutnya untuk meminum sisa air tersebut. Jumlahnya mungkin tidak sampai seteguk. Cukuplah untuk membasahkan mulut yang mungkin kepedasan kerana sambal nasi lemak tadi.

Selesai minum lelaki itu seakan tercari-cari akan sesuatu. Tangannya masih memegang kemas tin minuman itu. Lalu dia membuka langkah menuju ke arah tong sampah yang paling hampir dengannya. Tin itu dimasukkan kedalam tong sampah dan dia terus berlalu pergi.

Kagum. Itu yang aku dapat katakan. Jika ingin aku tanyakan kepada kalian siapakah yang lebih betul dan waras ? Insan yang meninggalkan tin itu diatas meja atau lelaki separuh tiang yang membuangnya kedalam tong sampah. Aku yakin dan pasti  orang yang meninggalkan tin minuman itu seseorang yang mampu, berduit, tahu memesan dan membayar harga air itu. Pendek kata ada akal dan fikiran yang waras.

Jauh aku berfikir mengenangkan peristiwa yang berlaku dia hadapanku. Siapa yang lebih gila ? Dia atau dia ?

Jalan-jalan kita yang waras ini, jangan tinggal tin minuman merata-rata kerana mungkin orang yang tak waras akan menolong membuangkannya.

10.28.2010

Jalan : SiApA aKu PaDa KaMu...

Jalan ini tentang kawan aku...sedih jugak kalau diimplementasikan.


Hujan bulan Oktober sudah bermula, beginilah setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh pada hujung tahun. Hujan ini mengingatkan aku tentang kisah aku dan kamu. Kisah satu masa yang pernah terjadi dan berlaku antara aku dan kamu.

Masih segar dalam ingatanku tatkala kita bersua muka buat pertama kali. Aku tertarik kepada gerak - gerimu, setiap tutur katamu menarik minatku. Aku percaya bahawa kamu begitu jujur dalam setiap perlakuanmu, sehingga aku menanam cita-cita untuk mengenalimu dengan lebih rapat lagi. Apakan daya,  rasanya sukar untuk mendekatimu, lantaran diriku tidak sepertimu, kamu pintar, cantik dan mungkin kamu sudah berpunya.

Seakan tidak percaya yang aku bisa berbual denganmu, pertama kali aku bisa bertentang mata dan menuturkan sepatah dua kata yang sebenarnya membuatkan aku bahagia. Adakah ini sebenarnya titik pertemuan dan perkenalan kita. Aku mengharapkan ia akan terus berkekalan dan berterusan. Mungkin.

Seperti yang aku jangka, segala tanggapanku kepada hubungan kita adalah benar. Semakin aku mengenalimu semakin  gembira kurasa. Setiap kali kita bersua muka di kaki lima sekolah, ketika itu kau sedang berjalan bersama teman-temanmu yang lain,  aku sempat memandang ke arahmu, lalu kamu balas dengan senyuman tersipu-sipu malu.

Dari hubungan sebagai rakan dan kenalan setingkatan kepada hubungan kenalan rapat. Masih ingat akan perbualan kita di telefon.

"Awak sudi jadi abang angkat saya ? " tanyamu kepadaku.

"Sudi, saya sudi " balasku segera.

Berbunga hatiku ceria apabila mendengar ungkapan itu dari bibirmu. Jika aku bisa memberitahu perkara ini, kepada semua insan didunia bahawa hari ini,  adalah hari indah buatku akan aku katakan kepada mereka semua.

Maka bermulalah kisah kita berdua, setiap hari selepas kelas aku menunggumu, walau bukan untuk bertemu, cukuplah memandangmu dari jauh apabila melihat  keluar dari kelas.Setiap kali kita keluar bersama rakan-rakan yang lain untuk keluar outing. Ingat pada hari itu kawan -kawan kita menyindir keakraban kita.

"Kalau ada kau, mesti ada dia, korang ni ada apa-apa ke? " kata mereka.

Tersenyum aku bila mendengar sindiran itu, berbunga ceria dan bahagia bila mendengarnya. Di tambah dengan kamu tersenyum malu sambil memandangku. Sepertinya ada sinar harapan dalam matamu yang buat aku yakin untuk memilikimu.

Dan ketika kamu bersedih menghadapi hari-hari sukar menjelang pepriksaan SPM aku sedia mendengar setiap luahan hatimu. Dari perhubungan adik dan abang kita bertukar menjadi sayang. Pertama kali kamu hantar pesanan ringkas yang berbunyi.

Syg..syg wt ap tu ?

Seakan  tidak percaya akan apa yang kubaca, dan bermula tika,saat serta detik itu aku percaya yang kamu hanya ada aku dan aku juga cuma ada kamu. Tapi panas pagi hari tak sampai ke petang, rupanya hujan di tengahhari. 

Ingatan aku pada hari itu benar-benar menyiksa batin dan perasaanku. Seawal pagi aku menerima pesanan ringkas darimu.

"Slm, abg, Ina nak kenalkan abg dengan buah hati Ina. Jmpa kt food court yea nti"

Fikiranku menyangka itu gurauanmu, aku percaya yang kasih kita berdua bukannya plastik dan utuh seperti selalu. Buah hati yang dimaksudkan oleh kamu itu adalah aku.Aku percaya padamu. Mana mungkin kamu akan melukakan hatiku. Kekasihmu. Lalu aku lekas bersiap dan pergi menemuimu di tempat yang kamu janjikan.

Sepertinya kau lewat seperti selalu, tapi itu tidak mematahkan semangatku. Sepincing masa berlalu aku melihat kelibatmu. Tetapi ada seorang jejaka yang ada disampingmu. Seakanku kenal akan wajahnya. Mungkin rakan atau salah seorang kenalanmu, bisik hatiku.

"Salam abang, kenalkan ni lah buah hati Ina" katamu kepadaku.

Seluruh jiwaku bergolak ketika itu, seakan tidak percaya akan insan yang berdiri dihadapanku itu adalah kekasihmu. Aku ingin sekali bertanyakan kepadamu adakah semua ini dusta dan gurauanmu belaka ??? Katakanlah bahawa semua ini dusta belaka. Sepanjang pertemuan itu aku merasakan yang aku sedang menyaksikan satu drama. Kamu tersenyum mesra sambil bergurau senda bersamannya, sedang aku melihat dan sesekali tersenyum pahit kerana aku mersakan yang aku sedang ditipu. Di tipu hidup-hidup!!!

"Emm.. Ina, abang nak balik dululah, ada kawan mesej nak mintak tolong buat kerja sikit, maaflah tak dapat temankan Ina dengan Afiq lama-lama" kataku kepadamu.

"Ala...abang dah nak balik, tunggulah kita pesan makanan dulu" balas Ina dengan nada merayu.

Aku terus berlalu pergi, aku sedar yang kehadiranku itu umpama insan yang tidak diperlukan. Langkah longlai kakiku ini ketika pulang ke asrama. Sepanjang perjalanan aku memikirkan peristiwa yang baru aku  alami tadi. Sebatang demi sebatang rokok aku hisap dan nyalakan. Sepertinya aku sedang kebingungan dan dalam keadaan yang amat sedih serta tertekan.

Guruh dilangit berdentum menandakan hujan bakal turun. Seakan langit sedang menangisi kesedihanku. Lalu rintik-rintik hujan mulai turun membasahi bumi. Ketika itulah aku meneruskan perjalanan dalam hujan dan dalam kedinginan suasana. Diselubungi perasaan sedih dan pertanyaan yang menyesakkan nafasku. Hujan semakin turun dengan lebatnya. Semakin lebat hujan turun, semakin laju air mataku menitis.

Bayangan kisah kamu dan aku silih berganti menjelma dalam benakku. Sesekali aku mengesat air mata yang sedang bercampur dengan titisan hujan. Aku bertanya kepada diriku , adakah ini semua benar ? Atau kamu hanya mahu mengujiku ? Atau kamu benar-benar sedang bersamanya ? Seribu pertanyaan mencengkam dan menerjah fikiranku. Seluruh tubuhku lenjun dibasai hujan. Hancur luluh hati ini hanya Tuhan yang tahu.

"Siapa abang ni pada Ina ? "

"Abang, abang angkat Ina "

Masihku ingat kisah itu ? Ingin aku putar semula kepadamu. Tapi aku ingin kamu tahu yang aku bukan seperti yang kau sangka, aku tidak lagi menagih kasihmu.

Hujan bulan Oktober masih lagi turun, kesejukan dan kedinginannya makin terasa. Tapi aku  bersyukur kerana aku masih ada kehangatan kasih dari -Nya.

p/s: Salam, kisah ini sebenarnya kisah salah seorang sahabatku. Aku nukilkan untuk jadi pengajaran untuku.

Jalan-jalan dalam hujan, hujan bulan Oktober.

Jalan : MeNgApA ???

Sesekali aku ingin mencuba berdialog bersama seseorang yang amat aku suka...

         Sepertinya hari ini seakan-akan baik cuacanya. Mentari menyinar terang dan hangat bahangnya begitu selesa mendakap setiap tubuh yang merasainya. Sang bayu bertiup beralun-alun dari arah laut menambahkan lagi suasana pagi yang sememangnya hari yang begitu sempurna. Itulah bukti Allah S.W.T masih sayangkan hamba-hambanya. Biar pun ada segelintir hamba-hambanya yang ingkar atas suruhannya. Kasihnya tetap tidak pernah berubah dan tidak luntur keagungannya.

         Setiap hari seawal enam setengah pagi Wak Comat akan memanaskan motorsikalnya. Memakai baju sejuk sambil mengepit puntung rokoknya untuk bersiap-siap pergi ke baruh. Begitulah rutinnya setiap pagi. Jika hari itu hujan, maka dia akan memakai baju hujan. Bila ditanya hendak kemana, tangannya akan menunjukkan arah baruh. Apa yang di carinya ?

"Boon, ganti spoket motor ni. Dah tajam lah " ujarku kepada Ah Boon, mekanik motorsikal.

"Nak yang mahal ke mulah ? " tanyanya lagi.

"Ala..mana-mana aje lah janji ok" balasku kepadanya. Dia mengangguk tanda mengerti.

"Kang Keong tak balik ke cuti ni ? " tanyaku kepada Ah Boon, Kang Keong anaknya, sebaya umur denganku, rakan sekelasku.

"Dia sula balik ali tu, sikalang balik sana belajar la.." terang Ah Boon.

Kelihatan Wak Comat sedang asyik menghisap rokoknya, sambil duduk memerhatikan Ah Boon melakukan kerjanya. Aku memerhatikan setiap perlakuan lelaki ini. Ketika dia sedar bahawa aku sedang asyik memerhatikannya, aku melemparkan senyuman kepadanya sambil menganggukan sedikit kepalaku tanda hormat.

"Kue anak'ie sopo ? " tanya beliau kepadaku. Bahasa Jawa yang dia gunaka itu bermaksud engkau ni anak siapa.

"Anak'ie Asir, Mat Lokan" balasku dengan bahasa Jawa juga.

"Oo...kue iki putu'ney Sotol yo' " kata Wak Comat semula. (Jadi kau ni cucunya Sotol lah yea ). Sotol ni gelaran arwah atuk aku.

Aku hanya mengangguk tanda setuju. Dia terus menghisap puntung rokoknya, sesekali matanya melihat ke arah sekolah di seberang jalan dan melihat jan di tangannya.

Pulang dari bengkel motorsikal itu aku masih tertanya -tanya macam mana dia boleh mengecam aku. Maksud aku ialah sebelum ini aku tak pernah bercakap dengannya.

"Mak, Wak Comat tu buat apa kat kedai Boon tiap hari ?" tanyaku kepada makku.

"Ntah, katanya tunggu anaknya balik sekolah, tapi setahu mak orang ada cerita anaknya dah abis sekolah" balas makku.

"Taklah, tadi dia tanya aku, "Kue putu'ney Sotol yo". ujarku kepada ibuku.

"Ala..ari tu dia tanya mak " Kue iki mantunyo kit'ing yo' ? ( Kau ni anak menantu Kit'ing kan ? ) Kit'ing ni gelaran nenek aku.

Macam mana dia boleh kenal keturunan seseorang itu dengan menatu-menantunya sekali aku pon tak tau nak komen. Ada deria istimewa kot.

Memang kasihan kalau dilihat pada keadaanya, sepertinya dia menunggu seseorang setiap hari tanpa jemu. Seolah-olah  yang ditunggunya itu adalah seseorang yang begitu istimewa.  Ada juga dalam kalangan orang kampung bercerita yang dia sedang menunggu ibunya. Pada hakikatnya ibunya sudah lama meninggal dunia.

Entah mana yang betul atau salah semua itu sekadar cerita orang. Alangkah baiknya sekiranya ada orang begitu setia menunggu kita setiap hari. Seakan begitu diri ini dirindui olehnya setiap masa.


Jalan-jalan lihat arah baruh, sedang marak awan hujan menuju kearahku...

Blogger news

Blogroll